Berita Terkini dari MalaysiaKini, Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, Kosmo, Malaysian Insider, Harakah, Bernama, Keadilan Daily, Tonton Drama. Perkongsian cerita dan kisah untuk panduan, pedoman bagi diambil teladan dan sempadan.

 

25 anggota keselamatan Mesir maut dalam serangan di Sinai

Gambar Hiasan
Kaherah: Kumpulan militan membunuh 25 polis Mesir dalam serangan paling buruk sejak beberapa tahun lalu ketika negara itu berdepan dengan krisis yang berpunca daripada penggulingan Presiden Mohamed Mursi.
Menurut tentera, militan menembak roket menyasarkan dua bas membawa anggota polis di Semenanjung Sinai, beberapa jam selepas ketua tentera Mesir berikrar untuk menggunakan kekerasan terhadap keganasan yang melanda negara itu.

Serangan itu mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku semula keganasan kumpulan militan seperti yang berlaku pada 1990-an.
Kejadian semalam berlaku ketika Mesir bergelut untuk menamatkan krisis politik dan pertumpahan darah yang meragut lebih 800 nyawa sepanjang pertempuran lima hari lalu antara penyokong Mursi dengan tentera dan polis di seluruh negara itu.

Antara yang terbunuh dalam keganasan terbaru ialah 36 tahanan Ikhwanul Muslimin yang mati selepas polis melepaskan gas pemedih mata, kononnya selepas mereka menahan seorang anggota polis sebagai tebusan.

Penyokong Mursi berikrar untuk mengadakan tunjuk perasaan semalam selepas membatalkan beberapa perarakan kelmarin atas alasan keselamatan.
Serangan di Sinai itu dilakukan kumpulan militan tidak dikenali ketika anggota polis berkenaan dalam perjalanan ke bandar Rafah yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, Palestin.

Kementerian Dalam Negeri menuduh kumpulan pengganas bersenjata bertanggungjawab dalam serangan itu.
Pihak berkuasa Mesir menutup pusat menyeberang sempadan Rafah sebaik kejadian berlaku.

Keadaan keselamatan di Semenanjung Sinai bertambah buruk sejak tentera menggulingkan Mursi pada 3 Julai lalu dengan serangan militan yang menyasarkan polis dan tentera berlaku hampir setiap hari.

Di tempat lain, pertumpahan darah berpunca daripada keganasan pasukan keselamatan Mesir ke atas penyokong Mursi pada 14 Ogos lalu tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. - Agensi

hmetro.com.my

Comments :

0 comments to “25 anggota keselamatan Mesir maut dalam serangan di Sinai”

Post a Comment


Arkib




Blogged.my

Kongsikan