Berita Terkini dari MalaysiaKini, Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, Kosmo, Malaysian Insider, Harakah, Bernama, Keadilan Daily, Tonton Drama. Perkongsian cerita dan kisah untuk panduan, pedoman bagi diambil teladan dan sempadan.

 
Showing posts with label berita hari raya. Show all posts
Showing posts with label berita hari raya. Show all posts

Antisosial pada pagi Syawal

Anti sosial lebih banyak dikaitkan dengan remaja yang lebih senang bersendirian dan berinteraksi bersama gajet seperti telefon bimbit dan komputer riba berbanding masyarakat sekeliling.

Mereka yang termasuk dalam golongan antisosial akan rasa sukar untuk berkomunikasi dengan dunia realiti dan kelihatan kaku terutama apabila diajak bersembang dengan saudara-mara yang bertandang ke rumah.
Namun apabila berinteraksi di dunia maya, mereka boleh dilabel antara golongan yang hebat dalam mengeluarkan hujah dan fakta tapi apabila di dunia sebenar, mulut bagaikan terkunci rapat dan tangan aktif menekan punat telefon bimbit.

Malah tidak hairanlah meskipun pada zaman kecanggihan teknologi, ada remaja yang lebih ‘rela’ memandang skrin telefon bimbit lebih lama daripada memandang wajah saudara-mara. Situasi ini membuatkan semangat beraya dan ikatan persaudaraan itu tidak dapat dipupuk semasa Aidilfitri.

Sikap antisosial ini jelas kelihatan ketika sambutan hari raya di mana ketika tetamu bertandang ke rumah tetapi ‘tuan rumah’ pula ligat muat naik gambar, menukar status dan menukar profil gambar di Instagram yang mudah diakses menerusi telefon bimbit sehingga boleh menyebabkan tetamu berkecil hati.

Apabila si antisosial tidak membuang sikap buruk mereka itu, akan timbul kesan seperti kurangnya keharmonian dalam kekeluargaan dan kemampuan dalam bersosial di dunia luar. Bahkan mereka merasakan berinteraksi di laman sosial lebih menyeronokkan dan mudah berbanding secara bersemuka.

Kemodenan teknologi yang pelbagai membuatkan ramai remaja bersikap antisosial. Mereka dilabelkan antara golongan yang cenderung untuk bersikap tidak ambil pusing ­dengan keadaan sekeliling dan lebih gemar mengutamakan gajet kerana berupaya meneroka apa saja di Internet dengan istilah ‘dunia tanpa sempadan’.

Tidak dapat disangkal lagi, laman sosial membantu dan mempermudahkan penggunanya untuk berinteraksi dengan orang lain tidak kira sahabat, keluarga, saudara-mara atau mereka yang tidak dikenali.

Namun pengaruhnya terhadap remaja menyebabkan mereka tidak menghiraukan ahli keluarga tanpa mengira waktu walaupun pada musim perayaan yang sepatutnya diluangkan bersama sanak saudara.

Dua laman sosial iaitu Facebook dan Twitter paling mendapat tempat di hati pengguna Internet khususnya remaja dengan statistik paling ramai. Kedua-duanya memiliki jutaan pengguna dan makin bertambah setiap hari. Ini antara sebab yang membuatkan anak muda alpa dan tidak peka dengan keadaan sekeliling kerana terlalu khusyuk mengakses laman sosial terbabit.

Sikap antisosial yang suka menyendiri umum­nya berpunca daripada sikap ketagih teknologi yang berkait rapat dengan gajet.

Apabila individu terjebak dengan virus antisosial ini, ia secara tidak langsung membuatkan dia dipulaukan keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling kerana kurang berkomunikasi dengan mereka. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku pada pagi Syawal.

Difahamkan, sebab utama sikap antisosial ini wujud dalam diri seseorang kerana kurang bijak membahagiakan masa di dunia maya dan realiti.


Adab menerima tetamu

Pelbagai adab yang perlu anda ketahui ketika beraya di rumah rakan ketika Aidilfitri. Anda mungkin terlupa adab sebagai tetamu dan adab melayan tetamu yang datang ke rumah.


1. Memberikan layanan yang baik

Seharusnya tetamu dilayan dengan baik dan tanya khabar tetamu yang datang ke rumah ketika pagi 1 Syawal. Buka pintu rumah jika terdengar ada tetamu yang memberi salam. Jangan malas untuk membuka pintu atau melengah-lengahkan masa untuk menjemput tetamu masuk kerana mereka akan menganggap anda tidak suka kedatangannya.


2. Menyediakan jamuan yang termampu

Orang-orang tua pada zaman dulu memang sangat suka menerima tetamu dan melayan mereka dengan sehabis baik disertakan dengan hidangan kelas pertama. Namun ia mengikut kemampuan tuan rumah untuk menghidangkan jamuan kepada tetamu yang datang. Jika tidak mampu, memadai dengan makanan yang biasa saja. Kalau hanya terdapat air ‘bujang’ atau biskut kering saja, tidak salah untuk menjamu mereka.


3. Menunjukkan wajah yang manis

Senyum ketika menerima tetamu tidak kira siapa juga mereka itu pada anda. Ingat jangan sesekali membuat muka yang tidak senonoh atau tidak disenangi di hadapan tetamu kerana mereka akan terasa hati dengan perlakuan anda. Walaupun ketika itu anda dalam keadaan penat agar tidak timbul fitnah di belakang anda nanti.


Apa pula peranan kita sebagai tetamu?

Adab sebagai tetamu harus dihayati agar hubungan yang ada kekal harmoni. Namun sebagai remaja, perlu ingat juga adab sebagai tetamu agar tuan rumah tidak jelek dengan kerenah yang anda tampilkan. Sedangkan Islam menggesa umatnya agar saling bermaafan pada Hari Raya dan tidak lupa dengan adabnya.


1. Mengunjungi rumah kawan pada waktu yang sesuai.

Elakkan pergi beraya ke rumah kawan pada waktu malam kerana berkemungkinan tuan rumah itu sedang berehat selepas penat melayan tetamu pada siang hari. Tetamu juga diingatkan agar tidak duduk dan bersembang dengan tuan rumah terlalu lama sehingga mengganggu urusan peribadi tuan rumah yang lain.


2. Berilah salam sebelum masuk ke rumah.

Adab sebagai seorang Islam sebelum masuk ke rumah orang lain haruslah memberikan salam dan selepas salam dijawab oleh tuan rumah, baru tetamu boleh masuk ke rumah tetapi jika salam tidak disambut, tetamu mesti menunggu dengan sabar di luar rumah sehingga tuan rumah keluar dan menjemput masuk.


3. Elakkan mata daripada meninjau keadaan di dalam rumah.

Perkara ini yang sering kali tetamu amalkan di mana suka melihat barang-barang atau almari kabinet tuan rumah terutama jenama yang digunakan. Sikap ini tidak harus anda lakukan semasa di rumah orang lain. Namun jika tuan rumah baru membeli barang baru sebagai perhiasan di rumah dan anda teringin melihatnya, minta izin dulu daripada tuan rumah sehingga dia membenarkannya.


4. Memuji makanan yang disediakan.

Harus diingatkan agar anda bermanis mulut ketika menjamah makanan yang tuan rumah sediakan. Cuba ikhlas dalam kata-kata pujian itu tetapi jika makanan yang dihidangkan tidak memenuhi cita rasa anda, jangan sesekali memberikan komen negatif yang tidak enak didengar.


5. Tidak tunggu di hadapan pintu rumah.

Selepas memberi salam anda berdiri dan tunggu tuan rumah membuka pintu di tepi dinding yang berhampiran dengan pintu rumah. Ini bertujuan agar tuan rumah tidak malu jika pakaian yang dipakainya terdedah atau menampakkan aurat. Tetamu juga harus menunggu dengan sabar dan memberi masa kepada tuan rumah untuk menjemput masuk. Sebelum pulang ucapkan terima kasih dengan layanan yang diberikan.

Sumber : hmetro.com.my

Budak 5 Tahun Jadi Hero


JERTIH – Kisah sedih membabitkan satu keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kubang Depu kelmarin bukan sahaja menceritakan ketabahan seorang bapa mencari nafkah untuk membeli baju raya untuk anaknya.
Sebaliknya turut mengisahkan keberanian dan kepintaran seorang anak kecil, Muhammad Syawal, 5, yang layak digelar hero kerana berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Syakir, 4, daripada terperangkap dalam kebakaran rumahnya pada jam 11.30 pagi, kelmarin.

Anak sulung kepada pasangan Mohd Shukri Mohd Noor, 36, dan Huslina Abd Rahman 26, itu bertindak bijak dengan menarik tangan adiknya keluar dari rumah setelah menyedari bahagian bilik rumah mereka terbakar.

Ketika kejadian, mereka berdua baru selesai dimandikan oleh nenek mereka, Fatimah Sulaiman, 55 yang tinggal di rumah berdekatan.

Waktu itu hanya mereka berdua di dalam rumah kerana ibu dan adik bongsu mereka, Muhammad Syahril, 3, keluar mengikut bapa mendapatkan pekerjaan di Gong Kepas dekat Kampung Raja demi membeli baju raya Muhammad Syawal yang masih belum dibeli.

Menurut Fatimah, cucunya itu menjerit sambil memegang tangan adiknya keluar dari rumah kemudian menyerahkan Muhammad Syakir kepadanya.

“Dia berlari keluar sambil menarik adiknya yang kelihatan enggan keluar dengan menjerit berkata ‘tok ma, tok ma api dalam rumah',” katanya mengenai cucunya yang memanggilnya dengan panggilan tok ma.

Lari ke rumah terbakar selamat selipar raya adik, ibu

Katanya, selepas meletakkan adiknya di tempat selamat, anak kecil itu berlari semula ke arah pintu utama rumah yang sedang marak terbakar itu demi menyelamatkan pula sepasang selipar raya adiknya (Muhammad Syakir) dan ibunya yang terletak di dalam rumah berhampiran pintu utama.
Kata Fatimah, Syawal memberitahu bapanya, dia hanya sempat menyelamatkan selipar adik dan ibunya sahaja manakala selipar lama ayahnya tidak dapat diselamatkan.
Tidak cukup dengan itu, dia yang bersekolah tadika berlari pula meminta bantuan penduduk kampung untuk memberitahu kejadian itu, di samping mencari bapanya yang disangka bekerja membina rumah di kampung sama kira-kira satu kilometer dari situ.
Kepantasan dan kebijaksanaan Muhammad Syawal melegakan ibu dan ayahnya yang sangat bimbangkan nasib mereka berdua yang berada di dalam rumah itu memandangkan dalam tempoh beberapa minit sahaja rumah tersebut musnah sepenuhnya.

Fatimah pula, mengumpul kudrat yang tidak seberapa mendukung ibunya (nenek Mohd Shukri), Che Mah Che Noh, 80, yang lumpuh keluar dari rumahnya kerana bimbang api dari rumah anaknya merebak ke rumahnya, di samping membawa bersama Muhammad Syakir.

Sementara itu, Mohd Shukri melahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila ada suara sumbang mengatakan dia sengaja membakar rumah itu demi mendapat sumbangan wang daripada orang ramai.

Kecewa dituduh sengaja bakar rumah

“Saya amat kecewa dengan tuduhan liar sedemikian kerana mana mungkin saya sanggup lakukan perkara seperti itu,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian menyiarkan kisah sedih sekeluarga ini apabila kegembiraan Mohd Shukri yang berjaya  memperoleh pekerjaan sebagai tukang rumah demi membeli baju raya anaknya, tidak kekal lama kerana sebaik pulang, dia dapati rumahnya hangus terbakar.
Dia pergi memohon kerja itu dengan membawa bersama isteri, Huslina Abd Rahman, 26, dan anak bongsu mereka Muhammad Syahril, 3, dengan harapan majikan yakin dengan kesungguhannya untuk mendapatkan kerja.

“Saya merayu diberi kerja walaupun untuk tempoh dua hari demi membeli pakaian raya anak sulung saya, Muhammad Syawal, 5, yang masih belum mempunyai baju raya," katanya.

Hasil pendedahan kisahnya semalam turut mendapat simpati pembaca Sinar Harian yang bertalu-talu menghubunginya untuk menyalurkan bantuan.
Semalam juga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut dan Adun Hulu Besut telah melawat mangsa.

Sumber : sinarharian.com.my


Arkib




Blogged.my

Kongsikan