Berita Terkini dari MalaysiaKini, Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, Kosmo, Malaysian Insider, Harakah, Bernama, Keadilan Daily, Tonton Drama. Perkongsian cerita dan kisah untuk panduan, pedoman bagi diambil teladan dan sempadan.

 
Showing posts with label tips cuti raya. Show all posts
Showing posts with label tips cuti raya. Show all posts

Anak muda lebih suka beraya depan TV?

Tak payahlah bersungguh-sungguh membeli-belah pakaian dan kelengkapan beraya kerana penghujungnya, semua itu hanya terperap dalam almari kerana langsung tidak digunakan. Mana tidaknya, balik daripada sembahyang raya hinggalah penyudah, si anak muda lebih suka duduk terperap di rumah.

Mak ayah dan adik-adik sibuk menziarahi rumah saudara tapi anak sulung entah ke mana.
Itulah tabiat kebanyakan anak bujang hari ini yang langsung tidak sensitif mengenai pengertian sambutan hari raya. Mereka tidak menikmati dengan sepenuhnya, sebaliknya lebih gemar memilih duduk di rumah.

Alasan? Sudah besar dan malu untuk keluar bersama keluarga lagi.

Gen.Y tidak mahu membuat andaian atau kesimpulannya sendiri. Justeru, kami mendekati Izzwan Shahzerill Huzaifah yang kini berusia 17 tahun bagi mendengar sendiri perspektifnya.

“Bukan tidak mahu beraya, tapi jujurnya memang malas untuk bertemu saudara yang sudah biasa saya jumpa kalau bukan hari raya sekalipun. Bezanya kali ini kita pergi rumah mereka dengan berpakaian baju Melayu, songkok dan menjamu selera.

“Rasanya kalau kecil memang relevan tapi sudah besar panjang, macam kelakar pun ada,” katanya.

“Walaupun saya masih bersekolah dan masih menerima duit raya, tapi kadang-kadang saya rasakan ia tidak sesuai untuk saya mengumpul RM1 atau RM2 daripada saudara-mara setiap kali datang beraya.

“Bukan sombong tapi itu lebih sesuai untuk adik-adik saya yang lebih kecil. Selalunya saya akan lebih selesa kalau berkunjung ke rumah kawan-kawan ataupun majlis rumah terbuka cikgu.

“Itu lebih seronok kerana berjumpa kawan-kawan, bersembang mengenai sekolah dan kemudiannya bergambar, itu lebih menarik berbanding ke rumah saudara dan duduk hingga berjam-jam.

“Mak dan ayah mestilah seronok ke rumah saudara-mara kerana banyak benda mereka boleh sembang. Tapi budak muda macam saya langsung tidak boleh ‘blend’ dengan sembang mereka.

“Itu yang membuatkan saya mati kutu setiap kali beraya. Kalau terpaksa juga, saya selalunya akan lebih senyap, bersalaman dan kemudian makan ataupun duduk di luar rumah saja menunggu mak dan ayah sudah beraya,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.


Malas beraya

Bagaimanapun, jelas Izzwan, ada kalanya dia terpaksa menipu bagi mengelakkan terus dipaksa mak ayah untuk pergi beraya.

“Kereta bukanlah besar untuk sumbat kami sekeluarga. Itu pun antara alasan saya malas nak beraya. Kemudian saya tidak berapa gemar mengenakan baju Melayu kerana kainnya yang panas dan membuatkan saya cepat rimas.

“Lebih baik duduk di rumah menonton TV kerana banyak program dan drama atau filem menarik yang ditayangkan dari pagi sampai ke malam. Sampai panas peti TV saya kerjakan!

“Kalau mak paksa juga, saya akan tipu kononnya ada kawan nak datang rumah ataupun nak tolong jaga rumah. Maklumlah musim perayaan memang banyak pencuri dan kes pecah rumah.

“Itu saja alasan yang ada untuk mengelak daripada pergi beraya,” katanya ketawa.

Lain pula kisahnya dengan M F Atrash yang sudahpun bekerja. Mengakui pernah melalui zaman ‘malas beraya’ ketika masih bersekolah dulu, namun kini katanya, menziarahi rumah saudara-mara adalah satu kemestian setiap kali menjelang hari raya.

“Dulu memanglah sebab masih sekolah dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Pergi beraya pun satu kereta dengan keluarga, jadi kalau bosan tak boleh nak lari. Tapi apabila sudah besar, saya memandu sendiri dan itu lebih mudah untuk bergerak.

“Kiranya kalau bosan di sesetengah rumah itu, saya boleh mencari alasan dengan balik dulu ataupun merayap ke mana-mana. Tidaklah terperangkap dengan agenda mak dan ayah saja.

“Lagipun apabila sudah besar, belajar dan kemudian bekerja di bandar, memang jarang sekali kita duduk berbual atau berjumpa saudara dan sepupu. Jadi bulan raya saja kita berpeluang duduk berkumpul dan bersembang panjang.

“Sepupu yang sebaya dan dulunya teman sepermainan pun ada yang sudah berkahwin dan dapat anak, jadi inilah saat paling istimewa setiap kali beraya, selain duduk berkumpul sekeluarga.

“Soal program TV memang langsung tidak tersenarai lagi dalam rutin sepanjang cuti beraya. Walaupun macam-macam filem dan program menarik, saya langsung tidak tahu waktu tayangannya kerana tidak langsung duduk depan TV.

“Itulah kelakarnya berbanding zaman kecil dulu yang tidak akan berganjak dari depan TV,” katanya.

Kesimpulannya, anak remaja memang selalunya punya agenda sendiri dan jenis yang melawan arus terutamanya apa yang dipesan ibu bapa. Musim beraya bukanlah satu hari yang istimewa, sebaliknya mereka lebih gemar bersendiri dan bertemu kawan-kawan.

Proses seronok beraya adalah ketika zaman kanak-kanak saja dan kemudiannya apabila sudah dewasa. Remaja adalah fasa untuk mencari identiti diri dan rasa bebas maksimum.

Bagaimanapun, jangan sesekali mengabaikan cuti beraya dan saat berkumpul bersama keluarga kerana ia hanya datang sekali setahun.

Sumber : hmetro.com.my

Tips Persediaan Rumah Terbuka

Sungguhpun Syawal masa terbaik menikmati sajian enak tradisional turut-temurun, makan perlu berpada.

"Selain risiko sakit perut, lihat juga jenis sajian yang bakal disuapkan ke mulut. Makan secara berhemah lebih banyak nikmatnya kepada tubuh badan," itu pesan Pensyarah Jabatan Diatetik dan Nutrisi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Jelasnya, sakit perut hingga perlu berulang beberapa kali ke tandas antara senario biasa berlaku bukan saja pada hari raya, sebaliknya apabila individu makan bercampur jenis.

Punca sakit perut

Tetapi mungkin lebih ketara pada hari raya kerana perut berada dalam keadaan penyesuaian untuk berhadapan dengan corak pemakanan berbeza.

"Perut yang sebelum itu tenang' dan berehat untuk tempoh sebulan, tetapi berubah daripada kebiasaan.

Antara punca sakit perut mungkin disebabkan keracunan makanan, makan pelbagai jenis makanan dan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa.

Kuantiti kecil

"Untuk mengelakkan sakit perut, individu perlu memastikan makanan disediakan secara selamat, mengambil makanan dalam kuantiti kecil, lebih kerap selain mengurangkan makanan berasaskan santan.

"Sajian berasakan santan lebih cepat rosak, lebih-lebih lagi sekiranya tidak dikendalikan dengan baik," katanya.

Selain itu, kebersihan makanan juga amat perlu dititikberatkan. Beliau berkata, paling utama, makanlah secara berhemah.

Tanggungjawab makan secara berhemah perlu dimainkan tuan rumah dan tetamu.

Berikut sebagai panduannya:

Tuan rumah:

- Rancang

Perlu merancang apa yang ingin dimasak. Bukan saja aspek sedap perlu diambil kira, sebaliknya makanan mesti berkhasiat.

- Seimbang

Sekiranya ingin menyediakan beberapa sajian pada satu masa, pastikan ia seimbang. Sebagai contoh hidangan pertama tinggi karbohidrat (seperti lemang dan nasi minyak), seimbangkan dengan hidangan rendah lemak (seperti pecal atau sup). Sediakan juga nasi putih (sekiranya menyediakan nasi minyak) agar tetamu boleh membuat pilihan. Buah-buahan juga boleh dijadikan hidangan.

- Pilihan

Beri pilihan lebih sihat.

Sebagai contoh sediakan jus buah tanpa tambahan gula berbanding kordial. Apabila menyediakan minuman panas seperti kopi dan teh, hidangkan gula dan susu secara berasingan. Ini dapat membantu tetamu menganggarkan sendiri jumlah gula atau susu diperlukan. Sediakan juga air kosong kerana ada tetamu yang mungkin malu meminta dari tuan rumah.

- 5 M

Ambil pendekatan 5M seperti disarankan Kementerian Kesihatan iaitu mengurangkan gula; mengurangkan garam; mengurangkan lemak/ minyak dan melebihkan buah dan melebihkan sayur.

- Keselamatan makanan

Pastikan keselamatan makanan terjaga. Makanan yang terhidang perlu ditutup dengan rapi dan pastikan ia sentiasa panas. Makanan yang terdedah dan sudah sejuk (kurang 5 darjah selsius) melebihi empat jam adalah tidak selamat dimakan. Panaskan apabila perlu. Memasang lilin di bawah sajian antara cara baik memastikan makanan sentiasa panas.

Tetamu :

- Rancang

Ketahui berapa rumah yang ingin dituju. Kalau merancang pergi ke tiga buah rumah atau lebih, makan dalam kuantiti kecil atau jamah saja. Tetapi ada juga saranan untuk makan di rumah terlebih dulu bagi mengawal nafsu makan selain mengelakkan 'mencampur adukkan' lagi makanan selain dikhuatiri sakit perut.

- Pasang niat

Niat berkunjung untuk menziarah.

Bukannya untuk makan kerana ia mendorong individu untuk makan semata- mata.

- Manis

Kurangkan minuman manis sebaliknya pilih air kosong. Air manis memberi tenaga tetapi khasiatnya kurang. Sebagai contoh air berkarbonat mempunyai antara 7 hingga 9 sudu gula.

- Lebihkan

Minum air masak serta banyakkan mengambil serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dr Barakatun berkata, paling utama setiap orang perlu memasang niat untuk pergi menziarahi sanak saudara berbanding menikmati sajian semata-mata. Begitu juga bagi individu yang ada penyakit, pastikan bekalan ubat tidak lupa dibawa bersama.

Keperluan kalori

- Wanita

19 - 50 tahun memerlukan kira-kira 2000 kalori (kcal).

30 - 59 tahun memerlukan kira-kira 2180 kalori.

- Lelaki

19 - 29 tahun memerlukan kira-kira 2400 kalori

30 - 59 tahun memerlukan kira-kira 2460 kalori Makanan & kalori

- Sebiji biskut raya (7 gram) : .30 - 40 kcal

- 2 (50 g) rendang daging (lembu) : 127 kcal

- 6 potong kecil lemang : 206 kalori.

- 1 ketul ketupat daun palas : 216 kalori

- 1 mangkuk mi sup (563g) mee sup : 383 kcal

- 1 cucuk (10g) sate ayam: 23 kcal

- 1 cucuk (12g) sate lembu: 25 kcal

- 1 cucuk (15g) sate perut lembu: 33 kcal

- 1/2 cawan (86g) kuah sate: 129 kcal

- 1 gelas air kosong : 0 kcal

- 1 gelas air sirap: 1 sudu (18g)> 150 kcal

Sumber: Kementerian Kesihatan

Manusia Kini Tidak Bercakap

Semalam, umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal selepas menamatkan sebulan dugaan berpuasa dan menambah amal ibadat yang diharap berterusan walaupun Ramadan meninggalkan kita.

Di sebalik musim perayaan ini, secara tidak langsung pengguna akan merasakannya mungkin berlainan dengan kehadiran teknologi yang mengubah senario ketika berhari raya.

Berikut disenaraikan trend teknologi musim perayaan yang bakal kita rasai pada Syawal 1434 Hijrah kali ini. Ada yang positif namun mungkin ada yang perlu difikirkan bagi memberi makna raya sebenar.

1. Ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kini digital. Lambakan aplikasi mesej di laman mesej atau sosial seperti Facebook menjadi pilihan pengguna di samping ‘sticker’.
Boleh dikatakan, pengguna zaman moden mempunyai dua jenis kad raya berbentuk digital iaitu yang dihantar melalui laman sosial dan juga masih dihantar melalui telefon bimbit.

SMS membolehkan pengguna telefon bimbit menghantar ucapan raya berupa teks dengan mesej bergambar manakala aplikasi laman sosial membolehkan pengguna menghantar gambar atau kad raya digital kepada penerima.

Penggunaan e-kad ini sangat mudah kerana penghantar hanya perlu mengetahui alamat URL laman web yang menawarkan perkhidmatan terbabit sebelum dihubungkan terus ke facebook anda.

Selepas mengunjungi laman web itu, anda hanya perlu klik pada kad pilihan hati, menulis sepatah dua perkataan, pilih lagu raya pilihan (berbentuk fail MP3) untuk iringan kad, memasukkan alamat e-mel penerima dan terus hantar.

Butang klik yang ditekan akan membolehkan ucapan raya anda terpampang di ‘Status’ atau ‘Wall’ Facebook anda atau terdapat pembekal perkhidmatan e-kad ini menghantar terus sekeping kad kepada e-mel penerima dan terdapat juga mereka hanya menghantar alamat URL dan meminta penerima mengunjungi laman web mereka untuk melihat kad raya yang diterima.

Tawaran sticker atau pelekat raya dalam laman mesej seperti Line dan aplikasi ‘emoticon’ sembang dalam Facebook pastinya memeriahkan suasana.

Tetapi, lebih baik kalau kita sendiri yang bersemuka dengan keluarga atau rakan ketika menziarah untuk bermaafan.

Jangan jadikan teknologi mengakibatkan pengguna laman sosial jarang bergaul dengan orang di sekeliling kerana terlalu asyik menghabiskan masa di depan telefon pintar.


2. Penggunaan meluas kamera jenis DSLR

Tidak dinafikan, fotografi menyemarakkan suasana hari raya dengan rakaman indah bersama keluarga.

Bayangkan selesai saja sembahyang raya, kita akan berkumpul di depan kamera untuk merakam foto beramai-ramai.

Mengambil gambar pada hari raya pertama bukan sekadar hobi untuk diisi, malah aktiviti berkenaan dapat mengeratkan hubu­ngan keluarga yang me­nyimpan pelbagai kenangan akibat lama tidak bertemu.

Penggunaan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) semakin popular dalam kalangan pengguna kerana dilengkapi teknologi canggih yang menghasilkan gambar berkualiti berbanding kamera digital biasa.

Fungsi semi atau DSLR penuh menawarkan rakaman yang menggalakkan dan berupaya membangkitkan suasana ketika perayaan dengan teknologi terbina di dalamnya memungkinkan warna-warni Aidilfitri dibangkitkan.

Kini, peminat kamera DSLR boleh memilikinya dengan harga serendah RM2,500, malah boleh pula membeli produk terpakai lantaran ramai penggunanya yang menjual selepas menukar kepada kamera lebih canggih.

Antara ciri menarik dalam DSLR termasuk puluhan lensa yang boleh ditukar, sekali gus memberikan kesan berbeza. Contohnya, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye).

Di samping itu, peng­gunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture), sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif. Katakan pengguna meng­gunakan lensa yang mempunyai bukaan 1.4, kesan kabur pada latar belakang pasti lebih menarik.

Menggunakan kamera DSLR juga membolehkan lebih banyak sudut rakaman lebih kreatif diperoleh kerana ia senang dikendalikan dengan pel­bagai fungsi lain.

Di Malaysia, keba­nyakan kamera semi dan DSLR penuh mudah didapati dengan harga yang kompetitif sesuai digunakan ketika musim perayaan.


3. Anda sudah merakam ratusan malah ribuan foto raya, ada juga rakaman video, persoalannya, apakah langkah seterusnya?

Banyak betul foto dirakam ketika musim perayaan tetapi hanya yang benar-benar mantap saja akan dipindah naik ke Facebook, jadi mana perginya foto berlebihan? Hendak dibuang pastinya sayang.

Jadi, setoran menggunakan cakera keras mudah alih menjadi pilihan yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini.

Terdapat produk yang dilengkapkan dengan sistem simpanan peribadi yang menggabungkan perkongsian simpanan dan akses dari jauh de­ngan tahap keselamatan sekali ganda serta pening­katan kapasiti.

Produk terbabit serasi dengan peranti Mac dan PC yang sentiasa mengekalkan salinan kedua semua fail anda untuk ‘backup’ data masa sebenar pada ruang RAID1.

Kebanyakannya disambung kepada seluruh rangkaian rumah untuk mewujudkan simpanan yang dikongsi pengguna yang kandungannya boleh diakses dari mana saja melalui sistem selamat.


4. GPS, guna telefon atau mesin GPS sebenar?

Masalah sesat untuk tiba ke sesuatu destinasi kerana tidak berapa mahir dengan jalan adalah pembaziran masa dan ini sering menjadi masalah ramai pengguna jalan raya terutama ketika mengunjungi rumah saudara jauh.

Maklumlah, setahun sekali saja berjumpa, ada juga yang baru berjumpa selepas 10 tahun, pasti banyak perubahan dan cubaan ke rumah mereka.

Kini masalah itu bukan saja dapat ditangani dengan berpandukan peta secara manual, malah secara elek­tronik sama ada menerusi telefon pintar atau alat penentu arah global (GPS).

Betul! pemandu yang mencari pembantu mencari arah elektronik mempu­nyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini.

Namun, mungkinkah ada perbezaan antara GPS dengan telefon yang dileng­kapi peta digital?

Peralatan GPS asas boleh dijumpai di pasaran pada harga kurang daripada RM300 dan ia masih menjadi peranti pilihan yang pintar jika anda tidak keberatan membawa lebih gajet ketika berada dalam kenderaan selain telefon, tablet, laptop dan sebagainya.

Pembantu ketika anda berada di atas jalan itu bersedia untuk digunakan selepas ia dikeluarkan daripada kotak lengkap dengan ‘mount’ atau pemegang untuk melekat­kannya di cermin depan kereta dan pengecas.

Selain itu, ia mudah untuk digunakan dan boleh dikongsi bersama keluarga atau rakan lain. Telefon pintar pula menjadi pilihan navigasi yang semakin popular terutama dalam kalangan model yang akan datang dengan alat bantuan siap dibangunkan bersama seperti perisian bagi mengenal pasti keadaan trafik atau aplikasi khusus.

Bagaimanapun, telefon pintar memerlukan pembelian aplikasi navigasi yang boleh dipindah turun atau langganan perkhidmatan.

Beberapa aplikasi langganan navigasi juga siap terpampang di setor aplikasi telefon masing-masing tidak kisah apa jua platform digunakan termasuk garmin, Navigon, TomTom, dan Magellan.

Aplikasi ini kelihatan dan berfungsi seperti unit GPS sendiri pada antaramuka telefon pintar.

Tips Melancong : Pastikan anak anda selesa

SUDAH menjadi satu amalan sesetengah masyarakat Malaysia memanfaatkan cuti panjang sempena Aidilfitri untuk melancong.
Mereka yang tiada ibu bapa di kampung halaman atau mahu bertukar angin, memilih untuk melancong ,sekali gus merasai sendiri suasana raya di perantauan.

Ada juga segelintir ma­syarakat bercuti saat Aidilfitri diraikan meriah di negara sendiri kerana ingin me­nyambutnya bersama anak, saudara atau rakan yang nun jauh di negara orang.

Apapun tujuannya, bercuti di musim perayaan ini memerlukan perancangan yang teliti terutama jika bercuti bersama keluarga dan mempunyai anak kecil.

Dengan keadaan semasa dan juga si kecil, banyak yang perlu anda titik berat­kan.

Tidak kira anda melancong dengan menaiki kapal terbang atau kereta, bas serta kereta api, segala-gala­nya harus dirancang sebaik mungkin supaya perjalanan anda mudah dan selesa.

Justeru, tip melancong kali ini mungkin dapat membantu anda mempermudahkan percutian, selain dapat meninggalkan kenangan manis bukan untuk anda saja, tetapi juga si kecil.


Jika menaiki kapal terbang

  • Bagi mengelak anda duduk terpisah dari anak, buatlah tempahan tempat duduk. Ia juga memudahkan anda menguruskan anak terutama ketika membuat pesanan makanan.
  • Pastikan anda me­nyimpan keperluan bayi dalam beg yang senang dibawa dan mudah diambil ketika diperlukan.
  • Ketika berlepas dan mendarat, berikan bayi anda susu atau makanan serta gula-gula bagi anak yang lebih besar untuk mengelak ketidakselesaan daripada tekanan dalam kabin kapal terbang.
  • Bawa makanan yang biasa bayi anda makan dan minta dipanaskan. Ia perlu kerana kebanyakan syarikat penerbangan tidak menyediakan makanan khusus untuk bayi ataupun mung­kin tidak sesuai untuk bayi anda.
  • Jangan lupa bawa permainan, buku atau majalah untuk anak anda dalam bakul kecil dan minta pihak penerbangan pek aktiviti yang mereka sediakan bagi mengelak anak kebosanan dan mula buat perangai.


    Jika menaiki kereta/kereta api/bas
  • Mulakan perjalanan anda sebelum waktu tidur anak kerana mereka mungkin lebih senang untuk tidur selepas itu.
  • Pastikan ruang belakang kereta untuk anak anda tidak dipenuhi dengan beg bagi memberikan keselesaan kepada mereka.
  • Mahu perjalanan yang selesa terutama bersama anak, membawa pemain DVD atau gajet kegemaran mereka membolehkan mereka berhibur, sekali gus tidak bosan seterusnya meragam.
  • Sebelum berangkat, tentukan hentian mana yang sesuai untuk anda berhenti seketika supaya anak boleh berjalan dan anda juga boleh berehat sebelum meneruskan baki perjalanan.
  • Jika terdapat tarikan menarik di sepanjang perjalanan, berhenti dan lihat. Ia hanya rehat seketika dan memberikan semua orang sesuatu untuk diceritakan di sepanjang perjalanan.
  • Bawalah beg parti kejutan dengan habuan seperti buku nota, krayon, pelekat dan manisan untuk memastikan mereka sentiasa terhibur.


    Tip umum untuk semua
  • Anda yang bercuti terutama bersama bayi, jangan sesekali lupa membawa tisu basah atau ‘wet wipes’. Ia sangat mustahak untuk sebarang kejadian.
  • Sediakan anak anda untuk perjalanan sebelumnya. Beritahu mereka peta di mana anda pergi dan tunjukkan risalah mengenai tempat yang anda akan lawati.
  • Beritahu si kecil masa perjalanan sebenar dan bersedia untuk mengejutkan mereka dengan betul supaya si kecil gembira ketika anda sampai awal.
  • Pakaikan mereka pakaian yang selesa dan bersesuaian de­ngan destinasi.
  • Jangan sesekali lupa untuk membawa ubat-ubatan anda dan anak ke mana saja anda pergi terutama jika anak harus memakan ubatan khusus saat sakit.

  • Sumber : hmetro.com.my

    AWAS! Mercun Dulu Mercun Sekarang

    Setiap kali tiba musim perayaan terutama Aidilfitri, suasana akan riuh-rendah dengan bunyi mercun dan bunga api. Ada berpendapat, tak lengkap raya tanpa mercun. Bagi mereka yang tinggal di kampung, mungkin sudah jadi perkara biasa dengan bising letupan ini.

    Bagi kanak-kanak dan remaja, bulan puasa dianggap sebagai bulan untuk tingkatkan kemahiran bermain mercun. Tak kisah untuk cuba pelbagai jenis mercun atau buat mercun sendiri, akan ada saja idea kreatif mereka untuk bangkitkan suasana raya. Namun kini mercun menjadi bahan terlarang kerana terdapat beberapa kes membabitkan mercun terutama pada musim perayaan.


    Makin hampir menjelang Aidilfitri, makin meriah kanak-kanak bermain mercun dan bunga api terutama di desa. Ia sekali gus menggamit memori penulis mengenai pengalaman bermain mercun semasa kecil.

    Mengimbas kembali zaman dulu, tidak banyak kes yang dilapor membabitkan mercun mungkin kerana ada pengawasan ibu bapa. Bagi yang sudah biasa bermain mercun, dia akan setia menunggu Ramadan saban tahun untuk bermain bersama rakan dan ‘berperang’ dengan jiran kampung sebelah. Ada juga yang baru berjinak-jinak dengan mercun, jadi caranya dengan mengikut abang, sepupu yang lebih tua dan juga kawan.

    Bermain mercun memang jadi kesalahan namun terdapat beberapa jenis mercun yang diberi pelepasan seperti mercun bawang. Sebenarnya, suasana hari raya akan sunyi dan menjadi kurang menarik jika tidak kedengaran bunyi mercun atau terang benderang bunga api di langit. Itu hakikatnya.

    Bagi kanak-kanak, pantang saja lepas waktu berbuka, mereka akan berlari keluar rumah terus keluarkan koleksi mercun yang ada untuk lawan dengan jiran sebelah. Tak hirau pasal Tarawih asalkan dapat bakar mercun, itu yang diutamakan mereka.

    Suasana kampung macam berlaku pepera­ngan, bunyi mercun sana sini. Itu suasana perlu dihadapi sepanjang Ramadan khasnya di kampung halaman.


    Budak dulu budak sekarang

    Mercun buluh antara mercun yang popular di kampung. Ia juga menjadi antara bahan eksperimen kerana ia adalah hasil buatan sendiri. Belerang, buluh dan sumbu antara bahan untuk menghasilkannya. Itu antara rutin budak kampung zaman dulu.

    Bagi mereka yang membesar di bandar, mercun dan bunga api dibeli untuk dibawa pulang bermain di kampung halaman. Namun oleh kerana mercun mendatangkan banyak kesan buruk, ia diharamkan di banyak negara termasuk Malaysia.

    Bahkan, Akta Bahan Letupan 1957 (Pindaan 1991) memasukkan mercun sebagai bahan letupan kecil yang diharamkan. Meriam buluh turut dikategorikan sebagai mercun buatan sendiri dan diharamkan penggunaannya. Bagaimanapun, ia masih dicipta secara sembunyi-sembunyi.

    Jauh bezanya budak dulu dengan budak zaman sekarang. Budak zaman sekarang sangat berani hinggakan walaupun umur baru setahun jagung sudah berani buat dan pasang mercun sendiri. Tak macam zaman dulu, kalau nak main perlu ada pemantauan daripada orang dewasa.

    Ibu bapa dulu kurang risau kalau anak main mercun sebab mercun dulu jauh berbeza dengan sekarang. Kalau pun sama, namun akan ada orang dewasa yang pantau seperti abang atau bapa saudara.


    Tetap degil

    Sering kali kita dengar kes membabitkan mercun hingga menyebabkan kecederaan parah hingga ada antaranya membawa kepada kecacatan kekal seperti putus jari, mata buta atau melecur muka atau bahagian badan tertentu. Kebanyakan mangsa letupan mercun dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

    Kadang-kadang ada segelintir ibu bapa merasakan tidak mengapa kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya, namun itulah punca meningkatnya kes saban tahun.

    Sama seperti dulu, walaupun ibu penat menjerit melarang namun kita akan tetap berdegil. Kepuasan bermain bunga api dan pelbagai jenis mercun tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi apabila keesokannya bunyi mercun kita dikatakan paling kuat, teruja makin berganda.


    Jaga-jaga

    Kini, aktiviti main mercun dipantau ketat oleh pihak berkaitan. Tak salah nak bermain bunga api ataupun mercun yang dibenarkan tetapi jauhi yang dilarang. Banyak mercun yang dijual adalah diseludup individu tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

    Oleh itu, mercun yang dibawa masuk secara haram tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan. Kita yang akan menanggung padah sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

    Jualan mercun yang tidak diluluskan menjadi semakin galak apabila menjelang hari raya. Pelbagai bentuk mercun seperti mercun roket, mercun robot dan mercun bola dijual secara berleluasa terutama di pasar malam.

    Justeru, jangan lupakan soal keselamatan. Kita tak boleh memaksa seseorang untuk tidak bermain mercun kerana jika itu yang diinginkan, dia tetap akan cari jalan dan berusaha untuk dapatkannya walaupun dengan cara haram.

    Tapi harus diingat, mungkin kegembiraan ketika saat menjelang hari raya menyebabkan semakin ramai yang lupa bahaya mercun.

    Nasihat penulis, jika ingin bermain juga mercun sekadar menyemarakkan kegembiraan, belilah bunga api yang diluluskan pihak berkuasa. Paling baik ialah tinggalkan tabiat bermain mercun.

    Sumber : hmetro.com.my

    Tips Hari Raya : Tip melancong Tag nama pada beg

    Keterujaan balik ke kampung atau percutian panjang di luar negara sempena cuti perayaan tidak terungkap dengan kata-kata.

    Segala persiapan pastinya sudah siap dan beg penuh dengan pakaian juga sudah tersedia.
    Kesesakan di lapangan terbang, stesen bas atau stesen kereta api dengan orang yang ramai me­ngundang kepada pelbagai hal terutama kehilangan beg.

    Kehilangan beg ketika melancong memang sangat menyakitkan hati dan jiwa tidak tenteram boleh mengundang kemarahan.

     Tidak mahu perkara ini berlaku kepada anda? Tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu bagi memastikan beg anda tidak hilang.


  • Gantung tag nama, alamat dan nombor telefon pada beg dan jangan lupa kunci. Anda juga boleh meletakkan mangga atau ‘padlock’ supaya beg tidak dibuka orang yang tidak bertanggung­jawab.
  • Daftar masuk penerba­ngan seawal mungkin me­ngelakkan anda kehilangan beg. Ini kerana, dengan mendaftar masuk awal, anda punya cukup masa untuk memasukkan barang ke dalam pesawat.

    Selain itu, beg anda juga tidak akan bercampur de­ngan beg dalam penerba­ngan lain jika berlaku kekalutan semasa proses daftar masuk.
  • Ikat reben atau pelekat dengan warna yang cerah pada beg anda untuk memudahkan anda mengenali beg terutama di lokasi tuntutan bagasi.

    Secara tidak langsung, anda tidak keliru mencari beg anda terutama apabila sesetengah penumpang lain mempunyai rekaan dan warna serta saiz yang sama dengan beg anda.
  • Pastikan pembantu penerbangan meletakkan tag destinasi yang betul pada beg anda. Mungkin nampak terlalu cerewet tetapi ia untuk kebaikan anda juga.
  • Kekerapan anda melancong membuatkan bagasi anda dipenuhi pelbagai pelekat. Justeru, bagi mengelak kehilangan beg, buang segala pelekat atau tag lama yang ada.

    Tindakan tidak membuang pelekat atau tag lama itu mengundang kekeliruan, sekali gus menjadi salah satu faktor beg anda hilang.
  • Jika anda mempunyai jadual penerbangan yang bersambung, maklumkan kepada pembantu penerbangan anda akan me­ngambil beg anda di desti­nasi terakhir.

    Pastikan juga salinan kod pelekat beg anda sentiasa bersama dan tidak dibuang walaupun anda sudah berada di dalam pesawat. Ini kerana, jika berlaku kehilangan, nombor rujukan yang dilekat­kan pada beg anda sa­ngat diperlukan.
  • Ambil beg anda sebaik tiba ke destinasi dengan kadar segera. Jangan tinggalkan beg di atas ‘carousel’ sementara anda membuat panggilan telefon atau berjalan-jalan di lapangan terbang.

    Pastikan juga anda mengingati bilangan beg yang dibawa terutama jika anda melancong bersama keluarga dan anak-anak.

  • Sumber : hmetro.com.my

    Pastikan Tidak Tertinggal Gigi Palsu Waktu Beraya

    Ternyata ramai yang malu untuk mengaku bahawa mereka sedang menggunakan gigi palsu. Hendak buat bagaimana, dalam keterpaksaan kita terpaksa juga memakai gigi palsu. Mungkin akibat salah diri sendiri yang tidak menjaga kesihatan gigi atau akibat tertentu seperti kemalangan dan sebagainya. Namun, kita patut berterima kasih kepada pencipta gigi palsu Nelson Goodyear (1839) yang telah menyelamatkan ramai di antara kita daripada imej buruk gigi rongak. Memanglah gigi palsu tidak sama seperti gigi asal. Namun gigi palsu pun gigi juga, jadi panduan ini penting untuk mereka yang menghargai gigi.

    Panduan

    1. Gigi palsu perlu rehat
    Perkara paling utama yang perlu dilakukan sebelum masuk tidur adalah menanggalkan gigi palsu. Jangan lupa rendam ke dalam air suam yang bersih jika ia mempunyai genggaman logam. Jika tidak, anda boleh merendamnya ke dalam air cuka atau pembersih gigi palsu khas. Rendaman ini membantu membuang plak, tartar dan bakteria.

    2. Penjagaan cermat
    Sudah tentu harga gigi palsu bukanlah murah. Memandangkan gigi palsu mudah patah, anda perlu menitikberatkan penjagaan yang sempurna. Ketika anda mahu membersihkannya, pastikan gigi palsu dibaluti dengan tuala atau diletakkan rapat sedikit dengan mangkuk berisi air. Sekiranya ia jatuh secara tiba-tiba, mangkuk tersebut boleh jadi penyelamat! Ikuti saranan pihak doktor akan cara-cara membersihkan. Pembersihan menggunakan berus gigi yang kasar boleh cepat merosakkan gigi palsu.

    3. Cuci setiap hari
    Jangan hanya kerana ia gigi palsu, anda memberusnya waktu tertentu sahaja. Gigi palsu juga mudah membentuk kekotoran dan bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan, iritasi dan kerosakan tisu. Penggunaan berus gigi khas tidak sama dengan berus gigi yang anda sering gunakan sebelum ini. Di pasaran, terdapat banyak ubat gigi yang sesuai mengikut pilihan masing-masing.

    4. Jumpa pakar
    Jalan penyelesaian gigi rongak tidak tamat di situ. Anda masih perlu membuat temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurangnya setahun sekali. Doktor bukan saja memberi khidmat nasihat kebersihan tetapi membantu memeriksa tisu-tisu atau kecederaan di dalam mulut untuk mengelak kanser mulut.

    5. Pastikan keselesaan
    Gusi dan tulang di dalam mulut boleh berubah sepanjang masa sehingga ia boleh mengubah kedudukan gigi palsu. Secara tidak langsung, pemasangan gigi palsu yang kurang tepat boleh menyebabkan masalah seperti kudis, kesakitan dan kurang selesa. Gigi palsu yang kurang sesuai boleh mendatangkan penyakit periodontium iaitu penyakit gusi.

    Sumber : karangkraf.com

    Tips Balik Kampung Sempena Hari Raya Aidil Fitri

    Dalam keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung, beberapa tindakan atau langkah pencegahan haruslah diambil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Kali ni aku nak kongsi panduan / tips sebelum pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Aidil Fitri.
    Maklumkan kepada jiran/polis
    Pastikan sebelum korang nak balik kampung tu berpesan-pesanlah dekat jiran untuk tengok-tengokkan rumah kita. Sebab tu lah pentingnya semangat berjiran ni kan. Kalau jiran pun pakat-pakat balik kampung jugak, bolehlah maklumkan dekat balai polis yang berhampiran berapa hari korang takda dekat rumah. Dapatlah polis buat rondaan kalau ada yang maklumkan dekat dorangkan.

    Pastikan semua pintu dan tingkap dikunci
    Sebelum korang berangkat untuk pulang, sila pastikan sekali lagi bahawa semua pintu dan tingkap telah dikunci terlebih dahulu sebelum meninggalkan rumah. Pastikan korang menggunakan kunci yang baik dan tidak uzur. Cara ini merupakan langkah yang terpenting  sekali dan berkesan untuk mengelakkan rumah dipecah masuk.

    Serahkan kunci pendua kepada orang yang anda percaya
    Perkara yang selalu dipandang remeh oleh kebanyakan orang adalah dengan meletakkan kunci di bawah alas kaki ataupun di dalam pasu bungan. Sebenarnya cara sebegini memudahkan lagi tugas pencuri untuk masuk ke rumah korang. Jadi, jangan sesekali meninggalkan kunci rumah di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga dan sebagainya.

    Hentikan langganan akhbar/majalah
    Ini bagi mengelakkan pencuri dapat mengesan ketiadaan korang dekat rumah. Kalau dah surat khabar takda orang ambil dekat luar tu, mestilah pencuri akan tahu rumah berpenghuni atau tidakkan. Disamping tu juga dapatlah berjimat sebab tak payah langgan dalam tempoh kita bercuti tu.

    Matikan semua suis dan gas
    Bagi menjaga keselamatan harta benda korang, silahlah periksa peralatan dekat rumah tu bagi mengelakkan berlakunya kebakaran. Kepala gas tu boleh la ditanggalkan supaya tidak berlaku sebarang kebocoran pada gas tersebut.

    Elakkan memasang lampu luar
    Sebelum keluar rumah, elakkan daripada memasang lampu luar. Ini kerana lampu luar yang menyala di siang hari menandakan penghuni tiada di rumah.

    Berdoa untuk kesejahteraan bersama
    Sebagai umat islam wajiblah kita berdoa kepada-Nya supaya mudah dipermudahkan segala urusan kita. Jadi, sebelum keluar rumah tu, berdoalah untuk memperoleh keberkatan.

    Sumber : hazminhamudin.com

    Tip Pemanduan Jarak Jauh Untuk Balik Kampung

    Beberapa tip persiapan sebelum dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

    Sebelum perjalanan
    1. Pastikan anda merancang dahulu perjalanan anda seperti bilakah tarikh dan pukul berapa anda akan bertolak. Hal ini penting bagi mengelakkan anda tidak tergesa-gesa serta dapat menghindari dari terlibat dalam kesesakan jalanraya.
    2. Bawalah kereta ke pusat servis yang bertauliah dan servislah kereta ada. Periksa komponen enjin seperti enjin, bateri, tali kipas, air radiator, lampu depan, isyarat, lampu brek, lampu kecemasan, tekanan angin tayar serta tayar simpanan, brek tangan serta pengilap cermin.
    3. Pastikan anda rehat dan tidur dengan secukupnya. Elakkan memandu selepas anda pulang dari tempat kerja. Jika anda keletihan, hal ini boleh mengganggu konsentrasi anda ketika memandu.
    4. Elakkan minum minuman keras atau mengambil ubat yang boleh member kesan mengantuk seperti ubat batuk atau selesema kerana ia boleh mengganggu tumpuan anda.
    5. Elakkan daripada perasaan marah sebelum memulakan perjalanan. Kemarahan boleh membuatkan anda stres, hilang pertimbangan dan tidak menghiraukan peraturan lalu lintas. Hal ini boleh membahayakan nyawa anda serta orang lain.
    6. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda mengisi tangki minyak dengan sepenuhnya bagi mengelakkan kenderaan kehabisan petrol di tengah-tengah jalan raya.
    Semasa perjalanan
    1. Pastikan anda dan setiap penumpang memakai tali pinggang keledar kerana ia boleh menyelamatkan nyawa. Jika anda membawa bayi kecil, jangan mendukung bayi sama ada di bahagian tempat duduk hadapan mahupun belakang. Pastikan tempat duduk keselamatan khas digunakan.
    2. Jika anda berasa mengantuk atau keletihan, ambillah masa untuk berhenti di kawasan rehat yang disediakan. Pastikan anda membuang air semasa berhenti dan berjalan bagi meregangkan otot anda.
    3. Jangan meninggalkan barang-barang berharga di dalam kereta semasa anda berada di kawasan rehat. Pastikan pintu kereta dikunci bagi mengelakkan sebarang kecurian.
    4. Jika memandu ketika hujan lebat, perlahankan kelajuan kenderaan dan pasang lampu hadapan. Elakkan daripada memandu laju kerana keadaan jalan raya yang licin boleh mengakibatkan kecelakaan.
    5. Jarakkan kenderaan anda serta elakkan dari mengekori kereta hadapan terlalu rapat. Hal ini dapat mengelakkan dari kemalangan berlaku.
    6. Amalkan pemanduan berhemah. Gunakan cermin pandang belakang dan sisi untuk memastikan keadaan selamat. Beri isyarat sebelum menukar lorong atau memoton. Jangan menghalang kenderaan lain, kerana ia boleh menyebabkan pengguna lain hilang sabar.
    Jika korang melaksanakan ke semua tip di atas, insyaAllah risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan anda akan sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.

    Sumber : hazminhamudin.com


    Arkib




    Blogged.my

    Kongsikan