Berita Terkini dari MalaysiaKini, Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, Kosmo, Malaysian Insider, Harakah, Bernama, Keadilan Daily, Tonton Drama. Perkongsian cerita dan kisah untuk panduan, pedoman bagi diambil teladan dan sempadan.

 
Showing posts with label tips melancong. Show all posts
Showing posts with label tips melancong. Show all posts

Tip melancong: Rancang perbelanjaan

Merehatkan diri dan minda serta lari daripada kesibukan kota antara tujuan utama bercuti selain ingin berseronok bersama rakan, keluarga atau anak-anak.

Sebelum pergi bercuti, perancangan teliti sememangnya sudah dibuat. Wang belanja sepanjang bercuti dan untuk membeli-belah juga sudah tersedia. Hanya tinggal berbelanja saja.

Membawa wang yang banyak saat bercuti terutama di tempat yang dikenali sebagai ‘syurga membeli-belah’ sememangnya cukup mengujakan.

Keseronokan yang dirasai juga bagaikan tidak tergambar dengan kata-kata. Maklumlah segala apa yang dihajati dapat dimiliki.

Namun selepas balik bercuti, fikiran yang tenang kembali kusut dek masalah kewangan selama bercuti. Situasi seperti ini sememangnya sering berlaku dan ia boleh dielakkan.

Bagaimana caranya? Berikut beberapa tip bagaimana anda boleh bercuti dengan tenang tanpa dibelenggu masalah kewangan.


Menabung

Sebelum merancang untuk bercuti, ada baiknya anda menabung dengan mengasingkan duit ke dalam tabung khas. Secara tidak langsung, anda yang memang merancang untuk berbelanja besar ketika melancong sudah mempunyai peruntukan untuk agenda itu.


Perancangan teliti

Tentukan dengan betul negara, bandar atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda.

Buatlah pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari.

Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran dikenakan.


Pakej promosi

Jika memilih untuk bercuti di luar negara, pilihlah negara yang sedang mengadakan promosi atau diskaun di samping harga istimewa yang ditawarkan ejen pelancongan.

Menjelang musim sejuk, negara di Eropah giat mengadakan promosi. Justeru, itulah masa yang sesuai untuk anda yang gemar berbelanja.


Belanja harian

Selama bercuti, buat bajet harian termasuk kos penginapan, makan, kenderaan di tempat yang dituju dan oleh-oleh yang akan dibeli untuk diri sendiri, keluarga atau rakan.


Apabila bersama si kecil

Periksa terlebih dulu apakah tempat yang akan dikunjungi menyediakan makanan atau kelengkapan si kecil. Jika ada, elak membawa makanan berlebihan kerana ia akan memberatkan beg.


Naik teksi

Apabila bercuti beramai-ramai, menaiki teksi lebih murah berbanding bas atau kereta. Justeru, bajet untuk pengangkutan dapat dijimatkan.


Manfaatkan sarapan

Manfaatkan sarapan secara percuma di hotel dan makanlah sampai kenyang terutama ketika bercuti di Eropah. Ini kerana harga makanan di sana mahal.


Oleh-oleh murah dan seperlunya

Bagi penjimatan, cari maklumat lokasi yang menawarkan barangan murah selain di pusat beli-belah. Elakkan membeli oleh-oleh dalam jumlah berlebihan.

Mencatatkan semua nama ahli keluarga atau rakan dan barangan yang akan dibeli dapat membantu anda supaya tidak membeli oleh-oleh yang berlebihan.


Sediakan duit kecemasan

Simpan 20 peratus daripada perbelanjaan bercuti untuk perkara kecemasan. Contohnya, bayaran kepada lebihan berat bagasi, membeli oleh-oleh dengan jumlah atau harga yang lebih mahal daripada anggaran.


Tunai lebih baik
Walau apa pun, cuba gunakan wang tunai untuk membayar perbelanjaan terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau bunga yang tinggi jika menggunakan kad kredit.

Tips Melancong : Pastikan anak anda selesa

SUDAH menjadi satu amalan sesetengah masyarakat Malaysia memanfaatkan cuti panjang sempena Aidilfitri untuk melancong.
Mereka yang tiada ibu bapa di kampung halaman atau mahu bertukar angin, memilih untuk melancong ,sekali gus merasai sendiri suasana raya di perantauan.

Ada juga segelintir ma­syarakat bercuti saat Aidilfitri diraikan meriah di negara sendiri kerana ingin me­nyambutnya bersama anak, saudara atau rakan yang nun jauh di negara orang.

Apapun tujuannya, bercuti di musim perayaan ini memerlukan perancangan yang teliti terutama jika bercuti bersama keluarga dan mempunyai anak kecil.

Dengan keadaan semasa dan juga si kecil, banyak yang perlu anda titik berat­kan.

Tidak kira anda melancong dengan menaiki kapal terbang atau kereta, bas serta kereta api, segala-gala­nya harus dirancang sebaik mungkin supaya perjalanan anda mudah dan selesa.

Justeru, tip melancong kali ini mungkin dapat membantu anda mempermudahkan percutian, selain dapat meninggalkan kenangan manis bukan untuk anda saja, tetapi juga si kecil.


Jika menaiki kapal terbang

  • Bagi mengelak anda duduk terpisah dari anak, buatlah tempahan tempat duduk. Ia juga memudahkan anda menguruskan anak terutama ketika membuat pesanan makanan.
  • Pastikan anda me­nyimpan keperluan bayi dalam beg yang senang dibawa dan mudah diambil ketika diperlukan.
  • Ketika berlepas dan mendarat, berikan bayi anda susu atau makanan serta gula-gula bagi anak yang lebih besar untuk mengelak ketidakselesaan daripada tekanan dalam kabin kapal terbang.
  • Bawa makanan yang biasa bayi anda makan dan minta dipanaskan. Ia perlu kerana kebanyakan syarikat penerbangan tidak menyediakan makanan khusus untuk bayi ataupun mung­kin tidak sesuai untuk bayi anda.
  • Jangan lupa bawa permainan, buku atau majalah untuk anak anda dalam bakul kecil dan minta pihak penerbangan pek aktiviti yang mereka sediakan bagi mengelak anak kebosanan dan mula buat perangai.


    Jika menaiki kereta/kereta api/bas
  • Mulakan perjalanan anda sebelum waktu tidur anak kerana mereka mungkin lebih senang untuk tidur selepas itu.
  • Pastikan ruang belakang kereta untuk anak anda tidak dipenuhi dengan beg bagi memberikan keselesaan kepada mereka.
  • Mahu perjalanan yang selesa terutama bersama anak, membawa pemain DVD atau gajet kegemaran mereka membolehkan mereka berhibur, sekali gus tidak bosan seterusnya meragam.
  • Sebelum berangkat, tentukan hentian mana yang sesuai untuk anda berhenti seketika supaya anak boleh berjalan dan anda juga boleh berehat sebelum meneruskan baki perjalanan.
  • Jika terdapat tarikan menarik di sepanjang perjalanan, berhenti dan lihat. Ia hanya rehat seketika dan memberikan semua orang sesuatu untuk diceritakan di sepanjang perjalanan.
  • Bawalah beg parti kejutan dengan habuan seperti buku nota, krayon, pelekat dan manisan untuk memastikan mereka sentiasa terhibur.


    Tip umum untuk semua
  • Anda yang bercuti terutama bersama bayi, jangan sesekali lupa membawa tisu basah atau ‘wet wipes’. Ia sangat mustahak untuk sebarang kejadian.
  • Sediakan anak anda untuk perjalanan sebelumnya. Beritahu mereka peta di mana anda pergi dan tunjukkan risalah mengenai tempat yang anda akan lawati.
  • Beritahu si kecil masa perjalanan sebenar dan bersedia untuk mengejutkan mereka dengan betul supaya si kecil gembira ketika anda sampai awal.
  • Pakaikan mereka pakaian yang selesa dan bersesuaian de­ngan destinasi.
  • Jangan sesekali lupa untuk membawa ubat-ubatan anda dan anak ke mana saja anda pergi terutama jika anak harus memakan ubatan khusus saat sakit.

  • Sumber : hmetro.com.my

    Tips Hari Raya : Tip melancong Tag nama pada beg

    Keterujaan balik ke kampung atau percutian panjang di luar negara sempena cuti perayaan tidak terungkap dengan kata-kata.

    Segala persiapan pastinya sudah siap dan beg penuh dengan pakaian juga sudah tersedia.
    Kesesakan di lapangan terbang, stesen bas atau stesen kereta api dengan orang yang ramai me­ngundang kepada pelbagai hal terutama kehilangan beg.

    Kehilangan beg ketika melancong memang sangat menyakitkan hati dan jiwa tidak tenteram boleh mengundang kemarahan.

     Tidak mahu perkara ini berlaku kepada anda? Tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu bagi memastikan beg anda tidak hilang.


  • Gantung tag nama, alamat dan nombor telefon pada beg dan jangan lupa kunci. Anda juga boleh meletakkan mangga atau ‘padlock’ supaya beg tidak dibuka orang yang tidak bertanggung­jawab.
  • Daftar masuk penerba­ngan seawal mungkin me­ngelakkan anda kehilangan beg. Ini kerana, dengan mendaftar masuk awal, anda punya cukup masa untuk memasukkan barang ke dalam pesawat.

    Selain itu, beg anda juga tidak akan bercampur de­ngan beg dalam penerba­ngan lain jika berlaku kekalutan semasa proses daftar masuk.
  • Ikat reben atau pelekat dengan warna yang cerah pada beg anda untuk memudahkan anda mengenali beg terutama di lokasi tuntutan bagasi.

    Secara tidak langsung, anda tidak keliru mencari beg anda terutama apabila sesetengah penumpang lain mempunyai rekaan dan warna serta saiz yang sama dengan beg anda.
  • Pastikan pembantu penerbangan meletakkan tag destinasi yang betul pada beg anda. Mungkin nampak terlalu cerewet tetapi ia untuk kebaikan anda juga.
  • Kekerapan anda melancong membuatkan bagasi anda dipenuhi pelbagai pelekat. Justeru, bagi mengelak kehilangan beg, buang segala pelekat atau tag lama yang ada.

    Tindakan tidak membuang pelekat atau tag lama itu mengundang kekeliruan, sekali gus menjadi salah satu faktor beg anda hilang.
  • Jika anda mempunyai jadual penerbangan yang bersambung, maklumkan kepada pembantu penerbangan anda akan me­ngambil beg anda di desti­nasi terakhir.

    Pastikan juga salinan kod pelekat beg anda sentiasa bersama dan tidak dibuang walaupun anda sudah berada di dalam pesawat. Ini kerana, jika berlaku kehilangan, nombor rujukan yang dilekat­kan pada beg anda sa­ngat diperlukan.
  • Ambil beg anda sebaik tiba ke destinasi dengan kadar segera. Jangan tinggalkan beg di atas ‘carousel’ sementara anda membuat panggilan telefon atau berjalan-jalan di lapangan terbang.

    Pastikan juga anda mengingati bilangan beg yang dibawa terutama jika anda melancong bersama keluarga dan anak-anak.

  • Sumber : hmetro.com.my


    Arkib




    Blogged.my

    Kongsikan