Gambar Hiasan |
Kaherah: Tiga puluh enam tahanan penyokong Ikhwanul Muslimin terbunuh kelmarin ketika didakwa cuba melarikan diri dari penjara.
Kementerian Dalam negeri Mesir mendakwa tahanan itu menjadikan seorang pegawai tebusan dan mati kerana lemas akibat gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan keselamatan.
Kejadian itu adalah pertumpahan darah terbaru sepanjang lima hari lalu yang bermula dengan keganasan tentera dan polis dalam operasi menyurai secara paksa penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi.
Agensi berita MENA melaporkan, polis dan tentera menghantar pasukan tambahan ke penjara Abu Zaabal, tempat kejadian itu. Sementara itu, Ikhwan, pergerakan yang membantu kemenangan Mursi pada pilihan raya 2012 berkata, 35 penyokongnya dibunuh di penjara berkenaan walaupun sebelum ini mendakwa jumlah itu melebihi 50 orang.
“Pembunuhan 35 tahanan antipenggulingan mengukuhkan lagi bukti keganasan yang memang disengajakan oleh tentera dan polis,” menurut kenyataan Ikhwan.
Ikhwan sebelum itu membatalkan beberapa perarakan besar-besaran kerana bimbang anggotanya menjadi sasaran tembakan tentera dan sukarelawan yang menyokong penggulingan Mursi.
Menurut pengiraan AFP, lebih 1,000 orang mati sejak tunjuk perasaan menentang Mursi meletus akhir Jun lalu. Ia termasuk anak pemimpin utama Ikhwan yang ditembak oleh pasukan keselamatan Mesir Jumaat lalu. - AFP
hmetro.com.my
Comments :
0 comments to “Polis bunuh 36 tahanan”
Post a Comment