Berita Terkini dari MalaysiaKini, Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, Kosmo, Malaysian Insider, Harakah, Bernama, Keadilan Daily, Tonton Drama. Perkongsian cerita dan kisah untuk panduan, pedoman bagi diambil teladan dan sempadan.

 

Kartun tiada batasan

Komik, baju-T , ‘action figure’, patung dan cakera padat antara barangan digilai mereka yang obses terhadap kartun. Hingga ada antaranya tidak pernah jemu mengumpul sekali gus memiliki beratus komik dan barangan yang dikumpul sejak kecil.
Meskipun kartun sinonim dengan kanak-kanak tetapi bagi mereka, usia bukan penghalang untuk terus meminati apa yang disukai sejak kecil. Mengakui ada yang memandang sinis apabila mengetahui diri masih meminati kartun, apa yang penting kepuasan diri menjadi keutamaan.
Sehingga kini, kartun atau animasi masih tetap wujud dan tidak ditelan zaman walaupun dunia semakin moden. Difahamkan, kewujudannya sudah lama iaitu sejak zaman perang dunia pertama lagi. Menurut sumber, antara yang popular dan terawal adalah Mickey Mouse.

Hanya untuk lelaki?
Pada zaman sekarang, pelbagai kartun dan animasi dicipta. Ada berpendapat, agak pelik apabila melihat wanita obses terhadap kartun. Benarkah peminat kartun dan animasi ini hanya sesuai diminati kaum lelaki saja? Pada pandangan penulis, ada logiknya. Kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan kartunis terdiri daripada lelaki dewasa contohnya Datuk Lat dan Ujang.

Jika diimbas kembali, sejak kecil lagi, kanak-kanak lelaki lebih suka menonton rancangan kartun berbanding kanak-kanak perempuan. Mungkin jiwa lelaki lebih terarah kepada watak adiwira seperti Dragon Ball Z, Suria Perkasa Hitam, Power Rangers dan sebagainya. Namun seiring itu, terdapat juga kartun lain yang berjaya menarik minat si gadis untuk setia meminati hingga kini seperti Power Puff Girls dan Hello Kitty.


Minat terbahagi dua

Menurut beberapa individu tegar, dikatakan peminat kartun, komik ataupun seangkatannya terbahagi kepada dua. Pertama, setakat suka-suka baca tetapi tidak kumpul dan keduanya, mereka yang obses dan kumpul. Bagi kelompok kedua, mereka tergolong dalam kumpulan yang panggil ‘collectors’.

‘Collectors’ ini juga wujud dalam hobi lain seperti mengumpul barangan antik, setem, poskad, wangian mahupun kasut. Selalunya, mereka yang obses ini mempunyai beratus barangan berkaitan watak kartun yang digilai. Sebagai contoh Transformers, daripada baju, patung, pen, beg, komik, CD hinggalah kepada cadar, kertas dinding bilik dan kereta, semuanya berkaitan Transformers.

Walaupun begitu, dikatakan bilangan peminat tegar semakin berkurangan. Tak ramai remaja atau belia suka kartun dan dianggarkan antara lima hingga 10 peratus saja jumlahnya kerana majoritinya gila bola sepak dan kereta.

Bagi salah seorang peminat kartun, Izlan Fahmi, 26 berkata, jika ditanya mengenai minatnya kepada komik bukanlah sebab pengaruh kawan. Katanya, dia menyukai seni yang ditonjolkan.

“Tidak seperti novel yang penuh melodrama, komik menggunakan bahasa lebih ringan dan mudah difahami. Lagi menarik apabila ceritanya penuh dengan gambar menjadikan pembacaan kita ada visual untuk lebih mengikuti jalan cerita berkenan. Bagi peminat komik tegar, bukan saja penceritaan dalam komik yang diminati, tetapi kebolehan pelukis menggambarkan emosi sesuatu watak sangat dikagumi,” katanya.


Cambah kreativiti

Kebanyakan remaja sekarang yang menonton filem kartun adalah untuk inspirasi kerja seni. Selepas menonton, mereka dimotivasikan dengan jalan cerita dan visual yang dipaparkan dalam filem. Ia membantu mereka untuk berfikir lebih kreatif sama ada menghasilkan filem kartun lebih baik atau imaginasi idea baru.

Jika ada berpendapat kartun hanya sesuai untuk kanak-kanak ternyata tanggapan itu tidak sesuai. Kartun juga bagus untuk remaja dalam mengembangkan daya imaginasi dan cipta sesuatu yang baru. Tiada batasan umur untuk kita letakkan minat seseorang terhadap hobinya tetapi ia haruslah berpada-pada dan tidak terlalu obses hingga mengganggu perbelanjaan bulanan dan orang lain.

Ditanya kepada peminat tegar ini bilakah mereka akan berhenti meminati kartun? Jawapannya hingga mempunyai anak sendiri kerana dikhuatiri koleksi kesayangan dirampas dan dirosakkan.


Pandangan terhadap lelaki suka kartun

Hobi adalah sesuatu yang tak boleh dihalang. Bagi wanita, ada menganggap lelaki yang meminati kartun tidak matang. Tetapi ada juga menyokong dengan berpendapat, selalunya berperwatakan lucu dan tidak terlalu serius. Comel dan mudah disenangi antara sifat yang jelas kelihatan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa selebriti tempatan yang obses kartun antaranya Dr Fazley, Afdlin Shauki dan Faizal Tahir.

Bagi penulis sendiri, tak kisah untuk minat kartun hingga hujung nyawa asalkan tahu beza dan tidak terbawa-bawa fantasi kartun itu dalam kehidupan seharian, sudahlah.

Comments :

0 comments to “Kartun tiada batasan”

Post a Comment


Arkib




Blogged.my

Kongsikan