Gambar Hiasan |
Kaherah: Beratus-ratus orang terperangkap
awal semalam dalam ketegangan antara penyokong bekas Presiden Mohamed
Mursi dengan tentera Mesir di sebuah masjid yang dijadikan rumah mayat
sementara.
Ketegangan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan kemungkinan
keganasan akan merebak dan meluaskan lagi kekacauan di negara itu.Masjid Al-Fatih di Dataran Ramses dekat tengah Kaherah menjadi kawasan tumpuan baru keganasan apabila lebih 1,000 orang berlindung di dalamnya berikutan pertempuran antara penunjuk perasaan yang ada hubungan dengan Ikhwanul Muslimin dengan pasukan keselamatan.
Televisyen milik kerajaan EGYNews memetik pegawai tentera sebagai berkata, pasukan keselamatan akan menyediakan laluan selamat kepada mereka yang berada di dalam masjid itu.
Bagaimanapun, mereka yang di dalam bimbang untuk keluar kerana percaya akan diserang samseng berpakaian preman yang ada hubungan dengan tentera seperti yang berlaku beberapa hari lalu, kata seorang doktor dalam masjid itu.
Kumpulan di luar menembak masjid berkenaan, memecahkan tingkap dan kemudian cuba meruntuhkan pintu depannya, kata doktor berkenaan dan dua lagi yang berada dalam masjid itu.
Menurut doktor itu yang enggan mendedahkan namanya kerana alasan keselamatan, tentera memberitahu wanita boleh meninggalkan masjid itu, tetapi lelaki akan ditahan. Bagaimanapun, EGYNews memetik pegawai keselamatan sebagai berkata pemimpin penunjuk perasaan menghalang mereka yang ingin meninggalkan masjid itu.
Media lain menyiarkan rakaman menunjukkan lelaki dan wanita yang berlindung di dalam masjid itu menutup mulut dan hidung kerana bimbang tentera menembak gas pemedih mata ke dalam masjid.
Ketegangan itu berlaku beberapa jam selepas penunjuk perasaan tidak mempedulikan perintah berkurung sebaliknya kekal di Dataran Ramses dan jalan raya berhampiran sementara tentera dengan kereta perisai di kerah mengawal sekeliling dataran itu.
Tentera memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mereka yang melanggar perintah berkurung berkenaan, meningkatkan lagi kebimbangan mengenai kemungkinan mereka akan melancarkan serangan seperti Rabu lalu yang meragut lebih 580 nyawa penyokong Mursi.
Pertempuran sengit kelmarin disifatkan sebagai paling buruk pernah berlaku di Kaherah sejak dua tahun lalu bermula selepas solat Jumaat apabila ribuan pengikut Ikhwan menunjuk perasaan membantah keganasan tentera Rabu lalu dan menuntut Mursi dilantik semula menjadi Presiden.
Angka kematian yang dilaporkan kedua-dua pihak berbeza.
Seorang petugas perubatan di Dataran Ramses berkata, 54 orang terbunuh sementara televisyen kerajaan, Nile TV berkata, hanya 17 orang mati sementara 40 cedera.
Di utara Mesir, Nile TV melaporkan, sekurang-kurangnya 16 terbunuh dan 140 lagi cedera tetapi agensi berita al-Ahram memetik pegawai kesihatan sebagai berkata, 21 orang mati.
Jumlah kematian tidak terhad kepada penyokong Mursi dan pasukan keselamatan. Sejumlah penduduk dan wartawan juga terbunuh selepas keganasan itu merebak. - AFP
Hmetro.com.my
Comments :
0 comments to “Tentera kepung Masjid Al-Fatih”
Post a Comment