Miniatur 'rumah ibu' (induk) bersaiz kira-kira 30 sentimeter (cm) panjang dan 30 cm lebar itu dihasilkan keseluruhannya daripada kayu dan mengekalkan seni bina serta ukiran rumah tradisional setiap negeri.
Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka Aididah Ibrahim berkata penghasilan miniatur dengan kerjasama tiga pengusaha replika rumah tradisional di Melaka itu bertujuan memudahkan pembeli membawa balik produk berkenaan ke destinasi masing-masing.
Beliau berkata replika rumah tradisional pada masa ini yang bersaiz 60 cm panjang dan 60 cm lebar, sukar dibawa ke mana-mana selain harganya yang tinggi iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap satu.
"Miniatur rumah tradisional ini akan hanya melibatkan harga RM300 hingga RM500 setiap satu bergantung kepada seni ukirannya," katanya kepada Bernama di sini.
Aididah berkata bagi fasa pertama projek berkenaan, model rumah tradisional Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor sedang dihasilkan sebelum diperluaskan penghasilannya melibatkan rumah tradisional negeri lain.
Katanya model rumah tradisional yang terdapat di Mini Malaysia di Ayer Keroh, Melaka menjadi antara rujukan kepada pengusaha replika berkenaan dalam menghasilkan miniatur itu.
"Miniatur ini masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana masih ada beberapa rekaan yang perlu diperkemas supaya memberi kepuasan kepada pembeli," katanya.
Beliau berkata produk akhir miniatur itu dijangka dapat dihasilkan menjelang akhir tahun ini dan dipasarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Aididah berkata pihaknya juga sedang membangunkan replika rumah tradisional berkonsepkan DIY (Do It Yourself) yang membolehkan pembeli terlibat dalam proses memasang model rumah tradisional.
Selain mudah dibawa, replika itu juga mampu memberikan cabaran kepada peminat kraftangan dalam menghasilkan seni bina rumah tradisional negara ini, katanya. - Bernama
Sumber: sinarharian.com.my
Comments :
0 comments to “Rumah tradisional dalam bentuk miniatur”
Post a Comment