HENDAK buat atau tidak rumah terbuka? Saudara-mara dan kawan-kawan asyik bertanya, mereka hendak datang beramai-ramai.
Ada banyak yang datang pada dalam fikiran. Pertama, bajet pada musim
raya yang menipis. Bolehkah buat rumah terbuka sekadar menggunakan
RM300?
Ketiga, anda semakin berusia, tidak larat memasak pelbagai menu seperti 10 tahun lalu. Siapa yang hendak membantu kerana anak beraya di rumah mentua mereka?
Bajet
Sangat penting mengagak jumlah tetamu, dengan ini anda tahu jumlah makanan yang disediakan. Sekiranya mengambil pendekatan sederhana, makanan yang dihidangkan walaupun banyak dapat dikurang bajetnya.
Contohnya, tetapkan jumlah menu yang kecil merangkumi dua hidangan berat dan satu ringan. Hidangan berat contohnya sama ada set nasi beriani atau set nasi ayam. Hidangan ringan pula pencuci mulut seperti puding, jeli, sejenis kuih (contohnya karipap atau donat) atau buah-buahan.
Nasi beriani dan nasi ayam mudah kerana ia ada set sendiri dan tak perlu banyak lauk. Satu lauk dan sayur (acar) sudah lengkap.
Anda juga boleh berpakat dengan adik-beradik atau kawan baik untuk berkongsi mengadakan rumah terbuka hari raya. Ia boleh dirancang sama ada mahu berkongsi wang menggunakan perkhidmatan katering atau masing-masing menyediakan hidangan yang dipersetujui.
Paling penting, jangan berlebihan menyediakan menu. Tetapkan tiga jenis sahaja. Antara menu berat lain yang boleh dipilih adalah mi kari, lontong dan mi sup.
Bagi tambahan kemeriahan, anda boleh letakkan kerepek dan kuih raya bagi menyerikan meja, malah ia sudah cukup mengenyangkan.
Lemang dan ketupat memang mudah tetapi sering kali orang mengatakan lemang dan ketupat bukan hidangan lengkap. Walaupun sudah ada lemang, ketupat dan kuah kacang, ramai menyangka perlu ada hidangan berat yang lain. Ini sudah meningkatkan bajet anda.
Penyelamat bagi set ini ialah nasi. Lauk apakah yang boleh dimakan bersama nasi lemang dan nasi impit? Rendang dan ayam masak merah adalah penyelesaian mudah.
Di sesetengah tempat, ayam atau daging masak kicap turut sepadan dimakan dengan ketiga-tiga di atas. Jadi pilihlah mengikut selera.
Mencari katerer memang menyesakkan dada pada musim raya kerana harganya mudah sekali meningkat naik. Katerer pula perlu ditempah sebulan awal, saat-saat akhir tiada yang mahu.
Apa kata anda mendapatkan perkhidmatan orang perseorangan di kawasan kejiranan yang diketahui boleh memasak untuk makanan ramai dan sedap. Cara ini lebih murah, cuma kena menyediakan pinggan mangkuk sendiri untuk tetamu.
Untuk minuman pula, sediakan dua jenis minuman yang baik untuk kesihatan, air kosong dan kordial limau. Tidak perlu menyediakan empat lima jenis minuman kerana ia bukan cara yang bijak. Tetamu juga boleh fokus dalam memilih sama ada mahu yang tawar ataupun manis, sejuk ataupun panas. Air teh atau kopi tidak perlu kerana tetamu biasanya mahu yang manis atau sebaliknya.
Selagi anda tidak berlebihan menyediakan menu bagi rumah terbuka, bajet anda tetap dapat dikawal dan murah.
Rumah yang kecil, di mana hendak menghidang, di mana hendak makan?
Jemput tetamu secara berperingkat. Kawan-kawan anak dijemput pada jam 11 pagi, kawan sendiri, jam 1 tengah hari. Saudara-mara mesti dikhaskan waktu yang paling akhir kerana mereka selalunya mahu tinggal lama. Sekiranya saudara-mara di awal waktu, ia bertembung dengan tetamu yang lain.
Rancang pengawalan menu mengikut masa tetamu. Kanak-kanak mungkin tidak gemarkan menu berat seperti nasi. Oleh itu, bihun dan mi adalah pilihan terbaik.
Ada rumah pangsa yang langsung tidak mempunyai koridor jadi, mungkin ada masalah menghidang makanan kepada tetamu yang ramai.
Anda boleh menghubungi persatuan penduduk bagi menggunakan wakaf di taman permainan rumah bagi menjamu tetamu sekiranya mahu menjemput tetamu datang sekali gus. Tetapi ini ada risikonya kerana selain penat mengangkat barang, masalah hujan juga perlu difikirkan.
Pada musim raya, ada restoran yang ditutup agak lama. Jika mendapat kerjasama daripada tuan punya restoran yang anda kenali, anda boleh menyewa restoran itu sebagai tempat menyambut tetamu. Tentu pilihan ini lebih murah dan kecil berbanding dewan orang ramai. Makanan dan peralatan disediakan pihak anda sendiri.
Penat dan tidak larat?
Kepenatan menyedia dan melayan rumah terbuka bukan hanya memenatkan orang yang berusia tetapi sesiapa saja. Cuma, orang yang berusia selalunya lebih penat.
Zaman ini untuk mendapatkan pertolongan orang lain bukanlah mudah terutama bagi mereka yang tinggal di kota.
Untuk mengurangkan kepenatan, paling utama adalah menggunakan peralatan pinggan mangkuk pakai buang kerana membasuh pinggan memang kepenatan yang paling kritikal terutama sekiranya tetamu tidak henti-henti datang.
Pastikan juga anda tegas memberitahu waktu jemputan supaya tidak ada yang datang terlalu awal atau sehingga lewat malam. Contohnya, beritahu tetamu anda waktu jemputan hanya dari jam 2 hingga 6 petang.
Mengemas dan membasuh tidak perlu dilakukan pada hari itu juga. Jangan memaksa diri yang sudah penat. Semuanya boleh dibuat keesokan hari setelah anda merehatkan badan.
Bagi memastikan majlis berjalan lancar, buat persediaan awal dan bukan hanya sibuk pada hari majlis. Apabila sudah menetapkan tarikh, dua tiga hari sebelumnya sudah boleh menyusun atur perabot bagi keselesaan tetamu atau memasak puding yang boleh disimpan di dalam peti sejuk. Sekiranya mahu membuat sendiri kuih-muih seperti karipap dan cucur badak, sediakan intinya terlebih dulu. Begitu juga sayur dan bahan lain, potong awal-awal bagi menjimatkan masa.
Segala rempah tumisan, bawang, cili dan lain-lain disediakan awal supaya anda hanya perlu memasak atau menggoreng saja tanpa perlu bersusah payah dengan kerja remeh temeh.
Beli bekas putih kedap udara untuk menyimpan daging dan ayam sehari sebelum majlis bersama-sama ketulan ais bagi memelihara kesegarannya. Jangan terkocoh-kocoh di pagi hari ke pasar atau pasar raya kerana ini akan menambah kepenatan.
Paling utama untuk mengelakkan pembaziran, terlebih bajet dan kepenatan melampau adalah bersederhana dan tanamkan niat yang ikhlas bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk dan berlebih-lebih.
Islam menggariskan kesederhanaan dalam apa juga suasana.
Apa yang penting, dapat menjamu seadanya, menjalin silaturahim dan semua orang gembira. Jangan sampai berhutang kad kredit semata-mata mahu membuat rumah terbuka Aidilfitri.
Bagi yang berkunjung ke rumah terbuka pula, jaga adab dan sopan di rumah orang dan jangan menyusahkan tuan rumah. Sekiranya masa sudah ditetapkan jangan sesuka hati menukar masa mengikut jadual anda sendiri. Hormati tuan rumah yang mungkin sudah kepenatan dan ada agenda lain.
Bagi yang membawa anak kecil, jangan biarkan anak anda mengambil sendiri makanan dan menyentuh hidangan sehingga membuatkan orang lain tidak selesa.
Pastikan juga anak anda tidak menyepahkan rumah tuan rumah dan sekiranya anak tidak sengaja menumpahkan makanan atau minuman, bantulah untuk membersihkannya.
Lebih selamat, anak kecil disuapkan oleh ibu bapanya sendiri.
Sumber : hmetro.com.my
Comments :
0 comments to “Bajet buat rumah terbuka”
Post a Comment