Sebelum ini anda
mengisi RM30 untuk mengisi petrol kereta anda dan boleh bergerak hingga
200 kilometer. Kini dengan jumlah yang sama kereta anda cuma dapat
bertahan 150 kilometer saja. Ada yang mengatakan kereta anda sudah kuat
makan petrol.
Penggunaan petrol
yang bertambah disebabkan beberapa faktor seperti kebocoran, permukaan
bahan api dalam ruang pelampung karburetor terlalu tinggi, penapis udara
tersumbat atau pelarasan skru pada karburetor kurang tepat.
Selain itu, ia mungkin berpunca daripada saat penyalaan kurang tepat, plag haus, suis pemutus arus terbakar, mampatan tidak cukup, injap yang tidak berfungsi, ekzos tersumbat, masalah pada cekam atau brek bergesel.
Bagi mengetahui puncanya, pertama, pemilik perlu memeriksa dengan melihat pada tempat meletak kenderaan.
Jika ada bekas titisan minyak atau terhidu bau petrol di kawasan itu, bermakna kenderaan mungkin mengalami kebocoran dan ia perlu dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Bagaimanapun, jika kebocoran berlaku pada sambungan paip petrol, ketatkan sambungan yang longgar menggunakan spanar dan jika masih bocor, buka skru berkenaan dan lilitkan benang vinil dan ketatkan sambungan itu kembali.
Sebenarnya ada
beberapa tip dan cara yang paling minimum untuk menjimatkan penggunaan
bahan api sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian anda. Sehubungan
itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol bukan
sekadar harganya tinggi tetapi penggunaan bahan itu secara berlebihan
menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.
Jika anda mendapati
penggunaan petrol pada kenderaan secara berlebihan, periksa puncanya
sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol
yang banyak di pasaran. Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin
tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami
masalah hingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Umumnya cara
terbaik mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan
pelarasan enjin.
Selain itu, perkara
penting yang perlu diketahui pengguna ialah sikap dan cara pemanduan
kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Antaranya,
menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar ke gear
seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan
mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang
berlebihan. Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia
membantu mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus di samping
teknik memandu yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi
20 peratus atau lebih.
Di samping itu, anda
juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar
yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap
biasa.
Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin.
Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan.
Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan petrol pada kadar lima peratus. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut.
Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu meningkatkan perbatuan dan prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan dan jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dulu merancang jalan mana untuk ke destinasi.
Sumber : penerangan.gov.my
Comments :
0 comments to “Tips Penjagaan Kereta : Punca Penggunaan Minyak Petrol Bertambah”
Post a Comment