Berita Terkini dari MalaysiaKini, Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, Kosmo, Malaysian Insider, Harakah, Bernama, Keadilan Daily, Tonton Drama. Perkongsian cerita dan kisah untuk panduan, pedoman bagi diambil teladan dan sempadan.

 

Tips Kecantikan Dengan Timun

TIMUN, sejenis sayuran yang murah dan mudah didapati di pasar serta sering terdapat di rumah hampir setiap individu. Ia boleh dimakan mentah begitu saja atau dimasak bersama hidangan lain.

Selain digunakan dalam masakan, ramai mengenali timun sebagai bahan kecantikan semula jadi untuk mata yang mana ia dapat memberi kesegaran kepada pancaindera itu yang kepenatan dan mempunyai lingkaran gelap.


Namun sebenarnya faedah kecantikan yang boleh didapati daripada timun melangkau lebih daripada itu. Timun juga mempunyai banyak kebaikan yang boleh digunakan untuk tujuan penjagaan kecantikan kulit wajah wanita mahupun lelaki.

Bukan setakat murah, ia bersifat semula jadi dan tidak mengandungi bahan kimia berbahaya yang mampu mengancam nyawa sekiranya digunakan secara kerap dalam jangka masa panjang.
-->
Sebelum itu, mari berkenalan dengan keluarga timun dan mendapat sedikit fakta mengenai sayur berkenaan. Seperti juga sayuran lain, walaupun kelihatan serupa, timun sebenarnya mempunyai beberapa variasi mengikut tempat asalnya.

Antara jenis timun adalah dosakai, iaitu timun berwarna kekuningan, berbentuk bulat dan banyak didapati di beberapa bahagian di India. Ia sering dimasak bersama kacang dal dan dijadikan jeruk.

Selain itu, timun Inggeris mempunyai kandungan biji yang sedikit dan boleh tumbuh sehingga mencapai panjang dua kaki manakala timun Mediterranean pula mempunyai kulit halus dengan hampir tiada biji serta mempunyai rasa yang lebih lembut.

Sementara itu, timun Jepun berwarna hijau gelap dengan kulit yang menggerutu dan sering digunakan dalam hidangan salad.

Timun juga kaya dengan silika iaitu bahan galian yang memegang tisu penghubung dan menyumbang kepada kekuatan tisu berkenaan seterusnya membantu memberikan penampilan lebih muda pada kulit.

Silika juga sudah terbukti mampu menghalang penuaan tisu berkenaan yang mana kekurangannya serta asid hyaluronic boleh mempercepatkan proses penuaan kerana tisu penghubung tidak lagi dapat memegang air dengan cekap.

Kandungan silika dalam timun didapati mampu menggalakkan penghasilan kolagen yang memberikan kulit lebih muda dan segar. Timun juga adalah rawatan yang baik untuk kulit bermasalah seperti rosak akibat selaran matahari, jerawat atau kering.

Sayur berkenaan mengandungi 90 peratus air menyebabkan ia juga dikenali sebagai ejen penyejuk hingga digunakan untuk memberi kesegaran pada mata yang sembap dan keletihan.
-->
Timun juga mampu mengurangkan pengumpulan air pada kawasan bawah mata yang menyebabkannya kelihatan letih dan tidak bermaya kerana ia sarat dengan kebaikan asid ascorbic atau lebih dikenali sebagai vitamin C.

Mereka yang berasa letih selepas penat seharian bekerja boleh mengamalkan penggunaan timun yang dipotong nipis dan diletakkan pada kedua-dua mata sambil berehat.

Keberkesanannya memang sudah terbukti sehingga ia antara rejimen kecantikan semula jadi yang paling banyak digunakan di pusat kecantikan di seluruh dunia.

Selain mata, timun yang mengandungi paras hidrogen yang sama dengan kulit mampu memberi kebaikan pada kulit wajah dengan membantu menenangkan dan melembutkannya.

Ia membantu merawat wajah yang bermasalah kerana kesan menyejukkan yang ada padanya selain kandungan pembersih yang mampu mencuci seterusnya meninggalkan kulit yang lembut dan gebu.

Antara cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan kulit cantik adalah dengan mengisar timun yang sudah dikupas bersama putih telur dan disapu pada wajah, biarkan hingga kering sebelum dicuci.

Cara lain yang boleh dilakukan adalah dengan memicit timun dan menyapu jus yang keluar pada wajah dan biar ia menyerap ke dalam kulit. Ia mampu menyerikan wajah jika dilakukan secara konsisten, tanpa perlu bergantung kepada produk mahal.

Jus timun juga membantu untuk mengurangkan penampilan warna kulit tidak sekata dengan menyapunya ke seluruh wajah dan biar selama 15 minit sebelum dicuci.
Tiada masalah untuk melakukannya setiap hari kerana ia bahan semula jadi dan tidak memudaratkan.

Kulit yang sering terdedah kepada matahari hingga ‘terbakar’ juga boleh mendapat manfaat daripada timun kerana ia mempunyai bahan yang mampu menyejukkan dan mengurangkan kesan selaran matahari hanya dalam masa singkat.

Timun juga boleh bertindak sebagai penyegar dengan menyapunya pada wajah dan mencuci selepas 10 minit bagi menghasilkan kulit lebih bercahaya.

Bagi mendapatkan kesan lebih baik, timun juga boleh dijadikan pupur dengan mengisar timun bersama daun pudina dan putih telur menjadi puri. Sapu pada wajah dan biarkan 15 minit atau sehingga kering sebelum dibasuh.

Mendapatkan kulit lebih cerah juga tidak sukar dan ia boleh dicapai dengan menggunakan timun yang dicampur bersama air kelapa. Ia dapat memudarkan bintik noda pada wajah.

Mereka yang mempunyai parut pada wajah akibat masalah jerawat boleh mendapat manfaat daripada timun dengan mencampurkan jus timun bersama jus limau nipis dan disapu pada jerawat atau parutnya.

Sumber

Comments :

0 comments to “Tips Kecantikan Dengan Timun”

Post a Comment


Arkib




Blogged.my

Kongsikan