Ada ketikanya pemandu
tidak berasa selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat.
Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan
ini menyusahkan terutamanya ketika meletak kenderaan dan apabila perlu
banyak membelok.
Antara sebab keadaan
ini berlaku termasuk tekanan tayar depan yang terlalu rendah, penjajaran
(alignment) tayar depan yang kurang tepat, kekurangan atau kerosakan
minyak pelincir di dalam kotak gear stereng, kekurangan gris pada
sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan penyelarasan yang
kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Apabila berhadapan
dengan keadaan sebegini, mula-mula periksalah tekanan tayar hadapan dan
pelinciran sambungan rod stereng. Agar pemeriksaan dapat dilakukan
dengan mudah, tongkatlah kenderaan hingga kedua-dua roda depan
tergantung. Kemudian periksalah adakah sambungan dan skru sistem
pengemudian cukup ketat.
Antara bahagian yang
harus diutamakan pemeriksaannya termasuk kotak gear stereng, sambungan
bebola atau gantungan depan termasuk hujung dan pangkal rod pengikat.
Untuk mengetahui kerosakannya, putarlah stereng ke kiri dan ke kanan.
Selepas itu putarlah stereng ke kanan penuh, kemudian gerakkan stereng
sedikit ke kiri dan ke kanan.
Sistem pengemudian
mempunyai peranan yang sangat penting, maka waspadalah terhadap pelbagai
kelainan yang wujud. Dalam keadaan lain pula, ketika memandu kenderaan
di atas jalan yang datar, stereng terasa cenderung untuk berputar ke
sesuatu arah. Jadi, stereng terpaksa dipegang dengan kuat untuk
mengelakkannya terus berputar ke satu arah.
Keadaan ini biasanya
terjadi disebabkan tekanan tayar kiri dan kanan yang tidak sama,
diameter rim kiri dan kanan yang tidak sama, penyelarasan penjajaran
roda depan kurang tepat, pegas (spring) gantungan depan yang sudah
lemah, patah atau kurang baik pemasangannya, penggalas roda depan sudah
rosak atau kurang baik penyelarasannya dan brek dari salah satu roda
depan atau belakang bergesel.
Apabila berhadapan
dengan keadaan ini, pertama pastikan bahawa beban kenderaan cukup
seimbang. Kemudian periksalah sama ada kedua-dua tayar depan dan
belakang sama tekanannya. Jika tidak, samakan. Pandu kenderaan
perlahan-lahan di atas jalan datar. Luruskan arah kenderaan, rasa dan
perhatikan bagaimana kenderaan berjalan. Apabila kenderaan masih
cenderung untuk membelok ke satu arah, hentikan kenderaan dan lakukan
pemeriksaan seterusnya.
Diameter luar rim
kiri dan kanan (untuk roda depan dan belakang) harus sama. Kemudian
periksa adakah salah satu pegas depan sudah lemah atau patah. Selain
itu, ada kemungkinan juga penyelarasan brek kurang baik atau hanya
sebelah yang berfungsi.
Kerosakan pada
sistem kemudi boleh menjejaskan sistem keselamatan. Oleh itu, penjagaan
aspek penjajaran roda depan tidak boleh dipandang ringan.
Comments :
0 comments to “Memeriksa Punca Stereng Kereta Berat”
Post a Comment